Sunday, March 30, 2014

6 Sebab Kucing Kita Sangat Perlukan Vaksin

Assalamualaikum wbt semua.

Bismillah.

Antara tugasan Doktor Veterinar adalah untuk memberikan maklumat mengenai kepentingan vaksinasi pada haiwan kesayangan, peliharaan mahupun ternakan.

Vaksin kucing adalah asas kepada kesihatan kucing. Ini untuk elakkan kucing kita dijangkiti penyakit virus dan bakteria tertentu yang sangat mudah menjangkiti kucing.

erikut adalah sebab kukuh kenapa kucing sangat perlukan vaksinasi.

#1 Supaya Kucing Tak Mudah Selsema

Selsema kucing disebabkan oleh Herpesvirus. Pada awal jangkitan, kucing akan kerap bersin. Tak lama kemudian, hingus cair jernih akan mula meleleh dari hidungnya.

Kedaan akan bertambah teruk apabila rawatan awal tak diberikan. Hingus yang cair jernih tadi akan mula pekat dan kuning kehijauan akibat jangkitan bakteria pula.




Bakteria mula join the party apabila badan kucing sudah lemah akibat jangkitan virus tadi. Virus selalunya akan open the door kepada bakteria untuk menjangkiti badan.

Dan, bila keadaan berlarutan tanpa rawatan yang betul, kahak mula berkumpul di dalam salur pernafasan kucing. Kucing mula batuk-batuk, semakin monyok dan sukar bernafas.

Dalam kes teruk, peparu kucing akan dipenuhi nanah, dan kucing bernafas melalui mulut dengan mulut terbuka, serta meregangkan leher untuk bernafas. Apabila jangkitan di dalam peparu semakin teruk, kucing akan kekurangan oksigen dan lama kelamaan kucing boleh mati.

Hepersvirus juga berpotensi menyebabkan sakit mata pada kucing. Mata kucing akan berair dan kemerahan.

Herpesvirus adalah antara komponen di dalam Vaksinasi Asas kucing, yang boleh diberikan seawal umur 2 bulan.

#2 Supaya Kucing Tak Mudah Sakit Mata

Selaput kucing akan kemerahan dan sangat bengkak apabila dijangkiti kuman Chlamydia. Bengkak mata ini pula disusli denga kegatalan mata yang amat sangat.

Dalam keadaan yang teruk kerana dibiarkan tanpa rawatan, mata yang sangat bengkak tersebut tercantum dan sukar dibuka. Lama kelamaan mata tersebut tak dapat diselamatkan.




Kuman Chlamydia ini boleh berjangkit kepada manusia. Oleh itu, mengelakkan kucing dari terkena jangkitan adalah penting bukan sahaja untuk kucing, tapi untuk kita juga.




Kuman Chlamydia juga antara kompenen di dalam Vaksinasi Asas kucing.


#3  Supaya Kucing Tak Mudah Sakit Mulut

Kucing yang sakit mulut biasanya akan meleleh air liur, tidak mahu makan dan minum langsung serta air liurnya pekat dan busuk. Sakit mulut pada kucing boleh diakibatkan oleh virus.

Calicivirus menyebabkan mulut kucing ada ulser (rujuk gambar di bawah). Sama seperti kita, apabila mulut ada ulser, ia sangat pedih. Dalam kes teruk, hampir separuh lidah dipenuhi ulser.



Lidah kucing tersebut hilang duri-duri dipermukaannya akibat ulser ini. Kekadang kucing tak mampu menutup mulut akibat ulser teruk kerana terlalu sakit.

Calicivirus merupakan salah satu komponen dari 4 komponen Vaksinasi Asas kucing.

#4 Supaya Kucing Tak Mudah Cirit Berdarah

Kucing cirit biasa adalah masalah biasa yang dijumpai. Tapi, apa yang luar biasa apabila cirit kucing itu dipenuhi darah. Bau najis yang cair kemerahan itu juga sangat hanyir.

Kucing yang dijangkiti pula monyok, selalu dijumpai termenung di depan bekas air, tidak mahu makan langsung serta teraring lemah. Kekadang kucing juga muntah-muntah.

Kucing yang cirit luar biasa ini kemungkinan besar dijangkiti Panleukopeniavirus, ataupun bahasa common yang biasa digunakan oleh Vet adalah Parvovirus. Anak kucing yang dijangkiti virus ini agak tipis peluang untuk hidup.




Ini kerana, anak kucing yang sudah sedia lemah dari segi imuniti apabila dijangkiti virus ini sangat cepat meneruk. Dalam masa 3 hari sejak mula simptom dilihat, anak kucing boleh menemui ajal, walaupun dengan rawatan.

Virus ini mampu membuatkan sum sum tulang yang merupakan kilang darah shut down. Apabila kilang darah berhenti beroperasi, maka sel darah berkurang dengan drastik terutama sel darah putih.

Sel darah putih sangat penting untuk melawan jangkitan bakteria. Jadi, apabila sel ini kurang, maka bila-bila masa sahaja bakteria mampu merosakkan organ-organ penting, lalu menyebabkan kematian.

Panleukopeniavirus ini merupakan salah satu komponen Vaksinasi Asas Kucing juga.

#5 Supaya Kucing Tak Mudah Mendapat Kanser

Dalam kucing ada satu virus yang boleh menyebabkan kanser. Virus ini sangat mudah merebak di kalangan kucing dengan cara, menjilat antara satu sama lain atau berkongsi minuman.

Apabila dijangkiti virus Leukemia ini, kucing akan mudah sakit. Yang paling biasa berlaku ialah sakit gusi dan tonsil bengkak, serta anemia atau kekurangan darah.

Selain itu, kucing positif Leukemiavirus ini akan mudah dijangkiti penyakit lain seperti selsema, dan apabila ada luka, luka mereka lambatt sembuh walaupun dengan rawatan.

Oleh kerana Leukemiavirus ini sangat common, walaupun Vaksinasi ini dalam kategori Vaksin Tambahan, ia sebenarnya sama penting dengan Vaksinasi Asas kucing.

Vaksin lain yang merupakan Vaksin Tambahan Kucing adalah Vaksin Rabies (penyakit anjing gila).

#6 Supaya Lebih Jimat Perbelanjaan Kucing

Ada 5 penyakit berjangkit berbahaya kepada kucing seperti diterangkan di atas. Setiap penyakit, kos minima yang perlu dibelanjakan untuk rawatan adalah RM1xx.

Banyangkan jika 5 penyakit? Minima kos yang kita perlu dikeluarkan adalah RM5xx. Sedangkan kos vaksinasi adalah kurang dari RM1xx. Jadi, kita boleh nampak bahawasanya dengan memvaksin kucing, kita bakal jimat 5 kali ganda perbelanjaan penjagaan kucing.

Makanya, jika kucing kita sihat dan cukup umur, bawalah mereka cepat-cepat ke Klinik Vet untuk vaksinasi.

=======================

Jemput ke channel telegram kami untuk lebih tips yang santai mengenai penjagaan kucing.
Klik link di bawah.

Bilik Channel Telegram Tips Kucing

Wassalam wbt.